Saturday, 21 July 2012

MELAYU TAGAROA - SIAPA SAYA SEBENARNYA

   Apabila frasa 'TAGAROA' muncul dalam skrip saya 18/5/2012 lalu, saya tertanya-tanya, apakah makna tagaroa itu. Tidak sempat saya mengkaji kerana masa yang saya ada tidak sampai 24 jam untuk mengacarai majlis di Auditorium Negara Malaysia Cawangan Pahang.


   Saya tertanya-tanya, siapakah saya sebenarnya. Menurut kad pengenalan saya yang berwarna biru, saya berbangsa 'Melayu'. Jika berpandukan 'birth certificate' saya adalah berbangsa 'Javanese'. Ini yang menjadikan saya semasa kecil dulu sebagai bahan usikan adik-beradik kerana perbezaan yang tertera di ruangan bangsa itu.


   Bila saya menginjak dewasa, rakan-rakan pula menjadi mangsa usikan saya kerana kelemahan orang Melayu yang kuat merajuk, tidak saya gemari. Kelemahan-kelemahan sifat dan sikap orang Melayu yang kadang-kala menyebabkan saya kurang merasa bangga menyebut saya adalah Melayu. Namun saya tetap seorang Melayu. Jika saya tidak mahu mengakui asal keturunan saya sendiri, bagaimana saya hendak meneruskan kehidupan tanpa jati diri yang terpasak kukuh?


   Sebelum ayahanda saya pergi mengadap Illahi, sempat saya melihat ayah menulis sepucuk surat ke tanah seberang untuk memohon salinan salasilah keturunan keluarga saya. Belum sempat saya mengetahuinya, ayah telah pun tiada. Saya berhasrat untuk mencari susur-galur asal keturunan saya walaupun perbezaan bahasa akan melambatkan usaha saya itu. Dalam adik-beradik ayah, hanya ayah seorang sahaja yang mengetahui bahasa asal keturunan kami. Semasa Allahyarham datuk masih ada, mereka berdua akan bertutur dalam bahasa ibunda dengan begitu bangga sekali.Saya ingin merasai bagaimana indahnya perasaan mereka itu.


   Bila saya klik melalui internet, tiada satu jawapan yang tepat tentang  Tagaroa melainkan nama-nama orang sahaja. Beberapa orang di dalam Dewan Bahasa Dan Pustaka juga tidak dapat memberi jawapan apa-apa kepada saya setakat ini. Bila saya klik Melayu Tagaroa, saya menemui 'Rumpun Melayu Austronesia". Anda juga boleh klik di ruangan Wikipedia, jika anda mengambil berat tentang bangsa anda sendiri, yang turut anda pelajari semasa di tingkatan satu dulu.

   Saya masih belum berhenti untuk mengetahui, siapa saya sebenarnya kerana saya ingin berbangga akan jati diri saya sendiri.

KEMBALI KEPADA SEJARAH 500 TAHUN TANAH MELAYU

Anggota-anggota Induk Kelab Kebajikan Dan Sosial Tun Teja Malaysia dalam Pembentukan Melayu Beradat.

Kelab Kebajikan & Sosial Tun Teja Malaysia memangku sejarah 500 tahun Malaysia dan turut mendapat nasihat daripada Pengarah Jabatan Warisan Negara, Warisan Tidak Ketara, Tuan Siri Neng Buah.


Bermula dari tahun 1511, iaitu zaman kejatuhan Empayar Melaka,  sehingga zaman ini tahun 2012, kita telah mengalami terlalu banyak peristiwa-peristiwa yang menjadi sejarah.


Apa itu sejarah?

Menurut beberapa pendapat yang berbahas mengenai pengertiannya, sejarah adalah salasilah, riwayat, keturunan atau asal-usul. Istilahnya dipercayai datang dari perkataan Arab iaitu 'sajaratun'. Menurut Ibnu Khaldun, sejarah membicarakan tentang peradaban manusia, masyarakat manusia dan perubahan-perubahan yang berlaku pada sifat-sifat masyarakat itu. Herodotus, sejarawan Yunani mendefinasikan sejarah sebagai cerita manusia dan sebab-sebab mereka bertindak demikian. Mohamad Yusof Ibrahim pula menjelaskan, sejarah adalah catatan atau rekod mengenai peristiwa yang berlaku pada masa lalu. Kesimpulannya, sejarah adalah penyelidikan tentang perkara yang telah berlaku. Penyelidikan ini pula dilakukan oleh para sejarawan dan hasil kajian mereka dizahirkan dalam bentuk penulisan, rakaman video, penggambaran dan pelbagai bentuk media samada media cetak, media bersemuka dan sebagainya.


Ciri-ciri sejarah perlu ada ketepatan fakta. Maka dapat dibuktikan kebenarannya. Sumber dan kesahihannya perlu dipertanggungjawabkan, bukan perkara tokok-tambah atau rekaan. Peristiwa sejarah haruslah penting terhadap individu, masyarakat dan negara. Contohnya, 31 Ogos adalah tarikh penting sebagai Hari Kebangsaan, kerana pada tarikh itu negara bebas daripada penjajahan.


Sila layari

Website: www.yds2u.com

atau hubungi VIP Nisa di

E-mail   : s_sanisah@yahoo.com



                          GERBANG PERJUANGAN LAMBANG PENGORBANAN

Friday, 20 July 2012

KKDSTTM ADALAH KELAB SEJARAH 5OO TAHUN MALAYSIA / TANAH MELAYU

  Gambaran Permaisuri Tun Teja Ratna Benggala oleh pelukis.

 

Pada 19 Mac 2011, penubuhan Kelab Kebajikan Dan Sosial Tun Teja Malaysia telah dirasmikan  oleh Tuan Hj. Fison bin Hj. Yahya, Timbalan Pendaftar Pertubuhan Malaysia, dari Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia. 

 

Kelab Kebajikan Dan Sosial Tun Teja Malaysia menyokong penuh usaha Jabatan Warisan Negara, dengan melantik Pengarah Warisan Tak Ketara, Jabatan Warisan Negara, Tuan Siri Neng Buah selaku Penasihat.

 

Kelab Kebajikan Dan Sosial Tun Teja Malaysia sangat bergiat aktif dalam aktiviti metodologi ilmu seperti menjalankan kursus, seminar dan bengkel yang telah banyak memberi impak positif kepada seluruh ahli VIP. Di antara aktiviti metodologi yang telah dijalankan sepanjang dua tahun bersama Jabatan Warisan Negara adalah:

- Bicara Warisan: Tagaroa : Perjalanan Melayu Mengerling Sumpah Bukit Si Guntang. - Hotel       Crystal Crown, Pelabuhan Klang, Selangor Darul Ehsan.

- Bicara Warisan: Sebuah Empayar Bernama Melaka, Sebuah Selat Bernama Melaka dan Sebuah Emporium Bernama Melaka. - berlangsung di Kelab Sultan Sulaiman, Kg. Baru, Kuala Lumpur.

- Mitos: Korbannya Kinoringan Dan Siminundu Tersebar Rezeki Sabah, - di Kompleks Belia Dan Sukan, Putatan, Sabah.

- Bicara Bunga Raya Bunga Kebangsaan, Bicara Adat, Adat Temenggung dan Adab Yang Diperadabkan.

 

Usaha menyingkap sejarah telah diteruskan dengan lawatan ke Inderapura, Pahang untuk merasai sendiri atau mengkaji zaman kegemilangan kepahlawanan Melayu dan sejarah Raja-raja. Lawatan kedua, ke Bukit Tinggi, Padang, Indonesia, yang telah menyelusuri sejarah Istana Bosa Minangkabau dan Pagar Ruyung. Seterusnya, lawatan tiga kali berturut-turut ke Pulau Besar, Melaka, yang begitu mengesankan kepada setiap ahli yang berpeluang ke sana. Dari masa ke semasa, Kelab Kebajikan Dan Sosial Tun Teja merangka lawatan dalam aktiviti sejarahnya terkini, ke Mumbai, India, kemudian ke Pulau Redang, yang membawa sejarah Tun Teja berkaitan dengan sejarahnya bertunang dengan Megat Panji Alam dari Terengganu, kemudian Tun Teja dilarikan oleh Hang Tuah dari Inderapura, Pahang, ke Melaka menjadi Permaisuri Sultan.


Orang Melayu telah sampai ke seluruh pelusuk dunia sebenarnya. Jadi, masih terlalu banyak pencarian dan penerokaan dalam mencari erti Tagaroa yang sebenar. Pengalaman tidak akan ditemui hanya dengan melihat gambar dan mendengar cerita, tetapi untuk dialami sendiri.


Sirih sutera pinang sutera

main panah anak helang arjuna

kasihkan Teja kenangkan Teja

bagai emas dengan bunga

 

Sila hubungi:

E-mail: s_sanisah@yahoo.com
Layari:www.yds2u.com

                                  GERBANG PERJUANGAN LAMBANG PENGORBANAN