Apabila frasa 'TAGAROA' muncul dalam skrip saya 18/5/2012 lalu, saya tertanya-tanya, apakah makna tagaroa itu. Tidak sempat saya mengkaji kerana masa yang saya ada tidak sampai 24 jam untuk mengacarai majlis di Auditorium Negara Malaysia Cawangan Pahang.
Saya tertanya-tanya, siapakah saya sebenarnya. Menurut kad pengenalan saya yang berwarna biru, saya berbangsa 'Melayu'. Jika berpandukan 'birth certificate' saya adalah berbangsa 'Javanese'. Ini yang menjadikan saya semasa kecil dulu sebagai bahan usikan adik-beradik kerana perbezaan yang tertera di ruangan bangsa itu.
Bila saya menginjak dewasa, rakan-rakan pula menjadi mangsa usikan saya kerana kelemahan orang Melayu yang kuat merajuk, tidak saya gemari. Kelemahan-kelemahan sifat dan sikap orang Melayu yang kadang-kala menyebabkan saya kurang merasa bangga menyebut saya adalah Melayu. Namun saya tetap seorang Melayu. Jika saya tidak mahu mengakui asal keturunan saya sendiri, bagaimana saya hendak meneruskan kehidupan tanpa jati diri yang terpasak kukuh?
Sebelum ayahanda saya pergi mengadap Illahi, sempat saya melihat ayah menulis sepucuk surat ke tanah seberang untuk memohon salinan salasilah keturunan keluarga saya. Belum sempat saya mengetahuinya, ayah telah pun tiada. Saya berhasrat untuk mencari susur-galur asal keturunan saya walaupun perbezaan bahasa akan melambatkan usaha saya itu. Dalam adik-beradik ayah, hanya ayah seorang sahaja yang mengetahui bahasa asal keturunan kami. Semasa Allahyarham datuk masih ada, mereka berdua akan bertutur dalam bahasa ibunda dengan begitu bangga sekali.Saya ingin merasai bagaimana indahnya perasaan mereka itu.
Bila saya klik melalui internet, tiada satu jawapan yang tepat tentang Tagaroa melainkan nama-nama orang sahaja. Beberapa orang di dalam Dewan Bahasa Dan Pustaka juga tidak dapat memberi jawapan apa-apa kepada saya setakat ini. Bila saya klik Melayu Tagaroa, saya menemui 'Rumpun Melayu Austronesia". Anda juga boleh klik di ruangan Wikipedia, jika anda mengambil berat tentang bangsa anda sendiri, yang turut anda pelajari semasa di tingkatan satu dulu.


